Corporate Profile

CEO's Message 2003

 
Misi

Kami berkomitmen tinggi untuk menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap kepada semua pelanggan di samping berusaha untuk membangunkan sistem pembetungan nasional yang akan menyumbang ke arah alam sekitar yang mesra dan berkekalan

Wawasan

Ke arah syarikat pembetungan yang paling cekap & mesra alam


Pelanggan Yang Dihormati,
Prestasi Perkhidmatan Pembetungan 2003

Program meningkatkan prestasi syarikat ke arah penyediaan perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien kepada pelanggan-pelanggan telah mencatatkan keputusan yang memberansangkan dengan penunjuk-penunjuk untuk membaiki lagi perkhidmatan yang disediakan. Penunjuk utama prestasi adalah untuk berbagai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat. Secara purata, perlaksanaan perkhidmatan-perkhidmatan yang sering diminta pada tahun 2003 mencatatkan 2.7% lebih baik daripada 2002. Pelanggan-pelanggan boleh melihat prestasi ini melalui lawan web syarikat www.iwk.com.my.

Hasil Kutipan Bil Perkhidmatan Pembetungan

Prestasi keseluruhan hasil kutipan bagi tahun 2003 mencatatkan keputusan positif bagi tahun ke-3 berturut-turut dengan peningkatan 21% atau RM37 juta lebih tinggi daripada 2002. Hasil kutipan yang lebih tinggi menggambarkan peningkatan pada jumlah pelanggan yang mulai sedar dan menghargai betapa pentingnya pengurusan pembetungan yang terancang demi memelihara alam sekitar.

Pembinaan Loji-Loji Olahan Kumbahan Baru, Kerja-Kerja Membaikpulih dan Menaiktaraf

Salah sebuah projek pembinaan utama yang disiapkan oleh syarikat pada tahun 2003 termasuklah sebuah loji olahan kumbahan mekanikal baru yang dipanggil "Pengudara Lanjutan Penyiring Terputus-Putus" di Taman Mas, Ipoh, Perak telah beroperasi mulai pada 5 Disember 2003 dengan kos pembinaan bernilai RM7.4 juta. Sebelum tahun 2002, kawasan perumahan ini telah disambungkan ke sebuah loji "Kolam Pengoksidaan" yang berusia lebih daripada 20 tahun.

Projek-projek lain yang telah disiapkan oleh syarikat termasuk 2 buah stesen pam pembetungan dengan harga berjumlah RM12.5 juta untuk membaiki sistem pembetungan di Georgetown dan beberapa bahagian di Pulau Pinang.

Sebuah lagi loji olahan kumbahan baru masih dalam pembinaan dengan harga berjumlah RM40 juta yang terletak di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan di Sg. Besi dijangka akan siap dan beroperasi pada suku tahun 2004. Fasa pertama loji olahan kumbahan jenis "Parit Pengoksidaan Terubahsuai" akan menampung kesetaraan populasi seramai 82,500 pengguna daripada Bandar Tun Razak, Taman Connaught-Cheras, Bandar Tasik Selatan dan Pekan Sg. Besi.

Pelaburan Syarikat Untuk Meningkatkan Kecekapan Pengendalian

Peningkatan pada hasil kutipan yang berterusan telah membolehkan syarikat membuat pelaburan semula membeli lebih banyak kenderaan baru dan juga melantik kontraktor-kontraktor untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pembetungan syarikat kepada pelanggan-pelanggan.

Lurang Pembetungan Awam Melimpah Diatasi Dalam Tempoh 24 Jam

Penutup Lurang Pembetungan Awam Hilang Diatasi Dalam Tempoh 12 Jam

Saluran Paip Pembetungan Tersumbat Diatasi Dalam Tempoh 48 Jam

Lori Tangki Najis Enap Cemar

Sejak 2 tahun lepas, lebih ramai pelanggan telah mula sedar betapa pentingnya tangki septik perlu dikosongkan secara berjadual demi mencegah pencemaran alam sekitar. Untuk memenuhi pertambahan permintaan untuk mengeluarkan najis enap cemar dan pepejal terkumpul di dalam tangki septik, syarikat telah melaburkan sejumlah RM2.6 juta untuk membeli 10 buah lagi lori tangki baru bagi menambahkan jumlah keseluruhan kepada 186 buah lori tangki.

Van

Sebanyak 21 buah van baru telah dibeli dengan harga RM1.6 juta untuk menambahkan jumlah keseluruhan kepada 268 buah van. Ini adalah untuk membolehkan juru teknik melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dengan lebih kerap di loji-loji olahan kumbahan dan stesen-stesen pam.

Kenderaan Membersihkan Saliran Paip Pembetungan

Dengan pertambahan jumlah saliran paip pembetungan yang tersumbat akibat minyak, gris dan sampah sarap di dalam saliran paip pembetungan bawah tanah, syarikat terpaksa membeli 2 buah lagi kenderaan ini dengan kos berjumlah RM1.3 juta untuk menambahkan jumlah kenderaan kepada 8 buah. Syarikat mungkin terpaksa meningkatkan pelaburan untuk membeli lebih banyak lagi kenderaan ini jika orang awam dan pengusaha-pengusaha kedai makanan terus mengamalkan tabiat suka membuang sampah sarap dan pepejal dengan sewenang-wenangnya ke dalam sistem pembetungan atau tandas.

Perlantikan Kontraktor-kontraktor Persendirian

Untuk memastikan loji-loji olahan kumbahan awam beroperasi dengan lebih efisien, syarikat telah mengambil inisiatif untuk melantik kontraktor-kontraktor yang mahir dalam kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk menjalankan kerja-kerja penyelengaraan pencegahan ke atas peralatan mekanikal dan pengawalan bekalan elektrik. Selain daripada itu, syarikat juga telah melantik kontraktor-kontraktor yang mahir dalam bidang kejuruteraan sivil untuk mempercepatkan kerja-kerja penggantian serta pembaikan saliran paip pembetungan yang runtuh, pengeluaran sekatan adn perkhidmatan pembersihan di loji-loji olahan kumbahan awam.

Tinjauan Kepuasan Pelanggan

Salah satu program pembaikan berterusan syarikat, satu tinjauan tahunan telah dijalankan menggunakan kaedah borang soal-selidik yang dikirimkan kepada 10,000 pelanggan domestik di seluruh negara pada tahun 2003. Daripada respon yang telah diterima, 83% responden menilaikan prestasi keseluruhan syarikat pada tahap yang baik manakala yang bakinya menilaikan prestasi syarikat pada tahap memuaskan dan mencadangkan kepada syarikat supaya menyebarkan lebih banyak lagi maklumat mengenai perkhidmatan pembetungan yang disediakan melalui media massa.

Prestasi Keseluruhan Perkhidmatan Pembetungan

Sehingga 31 Disember 2003, kesetaraan populasi atau pengguna yang menggunakan sistem pembetungan jenis bersambung ke loji olahan kumbahan mencatatkan penambahan 8.8% dari 11.3 juta ke 12.3 juta pengguna di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada masa yang sama, jumlah loji yang dikendali dan diselenggarakan mencatatkan penambahan dari 7,127 ke 7,520, jarak rangkaian saliran paip pembetungan bawah tanah juga bertambah dari 11,500 km ke 12,700 km dan jumlah stesen pam pembetungan juga bertambah dari 399 ke 448.

Di Indah Water, kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan pembetungan yang terbaik supaya anda tidak perlu melihat, mendengar, menyentuh, menghidu atau memikirkan tentang najis dengan kadar yang berpatutan demi kesejahteraan anda.

Yang ikhlas,
Bagi pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd

Suhaimi Kamaralzaman

Ketua Eksekutif

LATEST HEADLINES