Corporate Profile

CEO's Message 2002

 

Pelanggan Yang Dihormati,
Pencapaian 2002

Membuka tirai tahun 2002, syarikat telah merumuskan satu penyata 'Wawasan' dan 'Misi' dengan tujuan untuk menetapkan arah tujuan Syarikat serta memupuk sikap berazam di kalangan kakitangan dan pengurusan demi mencapai sasaran Rancangan Perniagaan 5 tahun.

Rancangan segera yang telah pun bermula mulai tahun 2002 dan 2003 adalah tertumpu kepada pembaikpulihan loji-loji olahan kumbahan yang telah usang, stesen-stesen pam pembetungan yang tidak berfungsi, penggantian rangkaian saliran paip pembetungan yang telah reput dan pembinaan kemudahan olahan enap cemar najis yang baru.

Sokongan sepadu daripada lebih ramai pelanggan telah menyumbang dengan ketara kepada peningkatan hasil kutipan keseluruhan tahun 2002. Kadar hasil kutipan yang lebih tinggi telah membolehkan syarikat melabur ke atas kenderaan, peralatan serta teknologi yang terkini demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pembetungan kepada semua pelanggan.

Hasil Kutipan Bil Perkhidmatan Pembetungan

Bagi tempoh dari Januari 2002 sehingga Disember 2002, jumlah hasil kutipan setahun mencatatkan peningkatan sebanyak RM31 juta atau 21% lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun 2001. Jumlah premis yang telah dikenakan caj perkhidmatan pembetungan sehingga Disember 2002 juga telah meningkat kepada 1.8 juta.

Kerja-Kerja Membaikpulih dan Pembinaan

Sehingga 31 Disember 2002, sebanyak 2,024 buah loji olahan kumbahan telah pun siap dibaikpulihkan dengan perbelanjaan sebanyak RM164 juta dan sebanyak 995 buah loji olahan kumbahan sedang menjalani kerja-kerja membaikpulih dengan perbelanjaan sebanyak RM82 juta. Sebahagian besar daripada kos membiayai program membaikpulih adalah diperolehi daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kerja-kerja menaiktarafkan loji-loji olahan kumbahan dan stesen-stesen pam pembetungan telah dilaksanakan dengan kos berjumlah RM59 juta. Projek-projek utama yang sedang dibina termasuk stesen pam pembetungan di Georgetown, Pulau Pinang(RM16 juta). Dua kerja-kerja menaiktaraf yang utama di peringkat hampir siap adalah loji olahan kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur (RM3.6 juta) dan Taman Mas, Ipoh (RM8.5 juta).

Pelaburan Syarikat Untuk Meningkatkan Kecekapan Pengendalian

Pertambahan daripada hasil kutipan telah dilaburkan untuk memperolehi peralatan/perkakas dan kenderaan baru demi meningkatkan lagi kecekapan pengendalian syarikat melaksanakan perkhidmatan pembetungan secara pro-aktif.

Pengudara Pengayuh Beroda & Van

Lebih banyak pengudara pengayuh beroda telah dibeli untuk mengudarakan kolam pengoksidaan yang berbau busuk. RM436,000.00 telah dilaburkan untuk membeli 350 buah pengudara. Sehingga kini, sebanyak 600 buah pengudara telah dibeli dan hampir 400 buah telah dipasang dan beroperasi. Baki 200 buah pengudara sedang dalam proses dipasang sejurus sahaja bekalan elektrik dibekalkan kepada kolam pengoksidaan yang sedia ada.

RM1.5 juta telah dilaburkan untuk membeli 22 buah van baru untuk memudahkan perjalanan tenaga kerja dan pengangkutan peralatan seperti pam sementara, janakuasa mudah alih, mesin pengangkut kuasa air dan peralatan; untuk menyelenggarakan loji-loji olahan kumbahan dan stesen-stesen pam. Sejak 2001, sejumlah RM5 juta telah dibelanjakan untuk membeli 72 buah van untuk 17 pejabat IWK di seluruh negara.

Lori Tangki Pengosongan Tangki Septik Individu

RM242,000.00 telah dibelanjakan untuk membeli 2 buah lori tangki pengosongan tangki septik dengan muatan 2,500 liter untuk memenuhi permintaan yang semakin banyak bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik individu. Ramai pelanggan, yang mempunyai tangki septik di premis mereka, telah mula menyedari betapa pentingnya pengosongan secara berjadual perlu dilakukan demi menjaga kebersihan alam sekitar tanpa dikenakan caj tambahan selain daripada caj setiap enam bulan bagi premis Domestik dan Kuarters Kerajaan dan caj bulanan bagi premis Komersial, Perindustrian dan bangunan Kerajaan.

Pengosongan Kolam Pengoksidaan

Pada ulung kalinya, syarikat telah menggunakan teknologi baru dengan pelaburan berjumlah RM5.3 juta untuk mengosongkan, mengeringkan serta membuangkan enapcemar najis sebanyak 53,000 meter padu daripada loji olahan kumbahan awam jenis 'lagun berudara' yang terbengkalai di Jalan SS13/6, Subang Jaya, Selangor. Loji tersebut boleh menampung kesetaraan populasi seramai 60,000 pengguna daripada Bandar Baru Sunway dan sebahagian daripada kawasan Subang Jaya, Selangor.

Perlantikan Kontraktor-Kontraktor Persendirian

Untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan pembetungan kepada pelanggan-pelanggan, syarikat telah mengambil inisiatif melantik kontraktor-kontraktor kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan pencegahan ke atas peralatan mekanikal dan pengawalan bekalan elektrik di loji-loji olahan kumbahan dan rangkaian stesen-stesen pam. Kontraktor-kontraktor berpenggal yang pakar dalam bidang kerja-kerja sivil juga telah dilantik untuk memudahkan serta mempercepatkan kerja-kerja penggantian serta pembaikan saliran paip pembetungan yang runtuh, pengeluaran sekatan dan perkhidmatan pembersihan di loji olahan kumbahan.

Sistem Pengurusan Sumber Manusia

Sebuah program bersepadu pengurusan sumber manusia telah diperolehi untuk meningkatkan proses pentadbiran rekod gaji kakitangan, latihan, perlantikan, kedatangan, keselamatan dan kesihatan serta kebolehan mengemaskinikan maklumat permohonan cuti secara "layan diri" dan talian terus.

Prestasi Perkhidmatan Pembetungan Keseluruhan

Sehingga 31 Disember 2002, syarikat menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada hampir 10 juta pengguna di seluruh negara, kecuali Johor Bahru, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Perkhidmatan pembetungan yang disediakan termasuk pengendalian dan penyelenggaraan 7,127 buah loji olahan kumbahan, 399 buah stesen pam pembetungan, 11,500 km rangkaian saliran paip pembetungan dan perkhidmatan pengosongan berjadual ke atas 949,000 tangki septik individu.

Demi membolehkan syarikat terus menyediakan perkhidmatan pembetungan yang efisien kepada anda, kami amat berbesar hati sekiranya anda dapat memberi sokongan dan kerjasama yang berterusan untuk menjelaskan pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan dengan segera.

Kami ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda atas sokongan dan keprihatinan yang berterusan terhadap kebersihan alam sekitar.

Yang ikhlas,
Bagi pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd

Suhaimi Kamaralzaman
Ketua Eksekutif
LATEST HEADLINES