Corporate Profile

CEO's Message 2001

 
Pelanggan Yang Dihormati,
Pencapaian & Perancangan Iwk

Salah satu inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk tahun 2002 ialah bertindak secara proaktif untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai usaha-usaha dan pencapaian syarikat semenjak IWK dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan membangunkan sistem pembetungan negara kita. Syarikat juga ingin mengambil kesempatan ini untuk membawa kepada perhatian pelanggan yang budiman tentang pelaburan dan komitmen syarikat demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke 8, Kerajaan telah membuat peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk pembangunan sistem pembetungan negara. IWK telah dipertanggungjawabkan ke atas penyediaan kepakaran teknikal dan bantuan pengurusan projek untuk memastikan projek-projek yang dijalankan adalah mengikut perancangan yang telah diluluskan. Rancangan-Rancangan ini meliputi membaikpulih loji rawatan kumbahan awam yang sedia ada, pembinaan loji rawatan kumbahan awam yang baru, rangkaian paip-paip pembetungan, stesen-stesen pam dan kemudahan memproses enapcemar utama di seluruh negara.

Sepanjang tahun 2001, syarikat telah mendapat sokongan yang merangsangkan daripada para pelanggan yang mengambil berat tentang alam sekitar yang bersih dan telah berjaya mengutip pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan yang lebih tinggi berbanding dengan tahun 2000. Hasil kutipan pada keseluruhannya telah mencatatkan peningkatan sebanyak RM35 juta bersamaan dengan peningkatan berjumlah 32%. Keputusan positif dan haluan menaik hasil kutipan telah membolehkan syarikat membuat pelaburan dan komitmen berikut:

Sumber Manusia

Jumlah tenaga kerja syarikat telah meningkat 8% dari 1,693 pada awal tahun 2001 ke 1,835 di akhir tahun 2001. Peningkatan tenaga pekerja ini telah membolehkan syarikat melaksanakan program pantas untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan pelanggan keseluruhannya.

Pengudara Roda Pengayuh

Sejumlah RM326 ribu telah dilaburkan untuk membeli 250 unit alat pengudara untuk dipasangkan di permukaan kolam pengoksidaan, yang mengalami masalah bau busuk, di seluruh negara. Syarikat berhasrat untuk melabur RM1 juta lagi dalam Fasa 2 projek memasang alat-alat pengudara ini kolam pengosidaan yang mempunyai masalah bau busuk tahun ini.

Membaikpulih dan Membina Sistem Pembetungan Baru

Sejak syarikat diambilalih oleh Kerajaan pada Jun 2000, IWK telah berjaya membuat komitmen berjumlah RM57.8 juta untuk kerja-kerja pembinaan sistem pembetungan baru dan membaikpulih loji rawatan kumbahan yang sedia ada. Selain daripada komitmen yang telah dibuat oleh IWK, Kerajaan juga melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat komitmen berjumlah RM123 juta pada tahun 2001 untuk pembinaan sistem pembetungan yang baru di seluruh negara.

Kenderaan Pembersih Paip Pembetungan

RM2.6 juta telah dilaburkan untuk membeli 4 buah kenderaan pembersih paip pembetungan yang baru. Pelaburan ini adalah tambahan kepada 4 buah kenderaan yang sediada. Kenderaan-kenderaan ini dilengkapkan dengan penyedut berkuasa tinggi untuk membersihkan sekatan dan paip air tekanan kuat untuk memecahkan minyak beku dan pepejal di dalam paip pembetungan.

Van Kekotak

RM3.5 juta telah dilaburkan untuk membeli 50 buah van kekotak untuk memudahkan kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaraan di stesen pam, loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan. Van-van baru ini dilengkapi dengan pam sementara, janakuasa mudahalih dan peralatan pembetungan.

Pada tahun 2001, jumlah loji rawatan kumbahan awam yang dikendali dan diselenggarakan oleh IWK telah meningkat sebanyak 236 buah dari 6,457 kepada 6,693. Jarak panjang rangkaian paip pembetungan awam yang diselenggarakan oleh IWK juga bertambah sepanjang 709 km dari 9,236 km kepada 9,945 km.

Bagi tahun 2002, syarikat akan terus membuat pelaburan yang sewajarnya untuk peralatan, kenderaan dan program membaikpulih loji sedia ada untuk memastikan sistem pembetungan negara, terutama sekali loji-loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan, dikendali dan diselenggarakan dengan sistematik dan profesional mengikut garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan.

Untuk memenuhi tanggungjawab dan tanggungan ini, syarikat memerlukan sokongan berterusan daripada pelanggan-pelanggan yang budiman untuk menjelaskan bil perkhidmatan pembetungan dengan segera.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelanggan yang dihormati dan bersama-sama, kita boleh memelihara kebersihan dan keindahan alam sekitar kita.

Yang ikhlas,
Bagi pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd

Suhaimi Kamaralzaman
Ketua Eksekutif
LATEST HEADLINES