Indah Water

Sludge Treatment

 
Rawatan Enapcemar

Semua sistem pembetungan daripada tangki septik individu ke loji mekanikal yang canggih menghasilkan enapcemar. Enapcemar ialah sejenis bahan organik yang akan cepat menjadi busuk sekiranya dibiarkan dan tidak dirawat. Enapcemar yang tidak dirawat merupakan ancaman kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

Walau bagaimanapun, enapcemar yang telah dirawat dan stabil adalah selamat untuk digunakan sebagai baja untuk tanah.

Malaysia mengeluarkan 3.2 juta meter padu enapcemar domestik setiap tahun. Walau bagaimanapun, kemudahan untuk merawat dan melupuskan enapcemar ini adalah terhad. Pada ketika ini, loji-loji rawatan kumbahan yang mempunyai kapasiti lebih digunakan untuk merawat enapcemar daripada tangki septik.

Menjelang tahun 2005, Malaysia akan mengeluarkan 4.3 juta meter padu enapcemar domestik setahun. Oleh itu, lebih banyak kemudahan-kemudahan untuk merawat dan melupuskan enapcemar diperlukan untuk menyelenggarakan jumlah yang banyak ini.

Satu cara yang baik ialah dengan membina lagun enapcemar yang akan dijadikan tempat kemudahan menyimpan dan merawat enapcemar. Cara ini sesuai untuk kegunaan jangka masa pendek di kawasan-kawasan bandar serta kegunaan jangka masa panjang di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan kampung.

Walau bagaimanapun, bagi kegunaan jangka masa panjang di kawasan-kawasan bandar, tangki-tangki pemendapan serta pencernaan enapcemar diperlukan, seperti di Loji Rawatan Kumbahan Pantai di Kuala Lumpur.

Sebagai satu langkah segera, IWK bercadang menggunakan loji-loji rawatan kumbahan sedia ada yang mempunyai kapasiti lebih. Bagi strategi jangka masa pendek, di antara dua sehingga lima tahun, IWK bercadang untuk membina lagun-lagun enapcemar, manakala bagi strategi jangka masa panjang pula ialah untuk membina kemudahan-kemudahan pencernaan enapcemar serta alat pengeringan mekanikal.

Setelah mengambil kira perkara yang tersebut di atas, tapak tanah amat diperlukan untuk dijadikan tapak kemudahan-kemudahan mengumpul dan merawat enapcemar supaya perkhidmatan mengosongkan tangki-tangki septik serta loji-loji rawatan kumbahan dapat dilakukan secara besar-besaran.

Pendekatan pengurusan enapcemar mesra alam merupakan batu asas untuk Malaysia menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pembetungan. Pengurusan enapcemar yang berkesan dan efisien akan menjadi penyumbang besar kepada Malaysia untuk menjadi negara yang bersih dan selamat bagi generasi yang akan datang.

LATEST HEADLINES