Customer

Indah Water

Desludging Service

 
Perkhidmatan Pengosongan Tangki Septik

Berkuatkuasa daripada 1 Januari 2008, IWK tidak lagi bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik berjadual. Mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik premis yang menggunakan tangki septik adalah bertanggung jawab untuk penyelenggaraan tangki septik tersebut.

Tahap maksimum enapcemar najis sebuah tangki septik biasanya adalah satu pertiga daripada saiznya. Pengosongan atau penyingkiran enapcemar terkumpul secara kerap adalah kritikal untuk mengelakkan masalah pencemaran air. Kekerapan pengosongan bergantung kepada kapasiti dan rekabentuk tangki septik. Tangki septik yang direkabentuk mengikut piawaian Malaysia (MS 1228) perlu dikosongkan secara berjadual.

Di bawah seksyen 65(1) Pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis yang mempunyai tangki septik hendaklah :-  

  • memberikan pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit akses yang mencukupi kepada tangki septik itu bagi maksud membolehkan tangki septik itu diservis dan dinyahenap cemar;
  • menyebabkan supaya tangki septik dan segala alat tambahannya disenggarakan dan dijaga supaya tidak menjadi kacau ganggu atau memudaratkan kesihatan;
  • menyebabkan supaya tangki septik itu dinyahenap cemar oleh pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit pada apa-apa lat tempoh dan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan.
  • Seksyen 65(3), seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000).

Pelanggan perlu membuat pembayaran untuk perkhidmatan pengosongan tangki septik yang dilakukan oleh kontraktor berlesen atau IWK.

 

PENTING :

Untuk memudahkan kerja-kerja pengosongan tangki septik dijalankan, sila pastikan:

 1. Ada laluan untuk lori tangki & peralatan memasuki kawasan premis & tangki septik pada tarikh yang telah dipersetujui.

2. Tiada halangan, seperti pasu bunga, tong gas, almari, kereta dan objek berat, di atas tangki septik.

3. Penutup tangki septik boleh dibuka tanpa cara paksaan. Jika penutup telah tertimbus, disimen atau diturap dengan jubin, sila lantik kontraktor persendirian untuk membuka penutup tangki septik.

 

Kenapa Pengosongan Tangki Septik Berjadual Penting?

Tanpa pengosongan tangki septik secara berjadual, air kumbahan yang tidak dirawat serta pepejal enapcemar najis akan mengalir ke dalam sungai-sungai. Ini akan menyebabkan kandungan oksigen yang terlarut di dalam sungai-sungai berkurangan dan mengakibatkan kematian hidupan akuatik. Enapcemar najis pula akan mendap ke dasar sungai dan membinasakan tumbuhan akuatik yang membekalkan oksigen ke dalam air sungai. Keadaan ini akan menyebabkan sungai kita ‘mati’.

Selain daripada itu, air kumbahan yang tidak dirawat juga mengancam kesihatan awam kerana ia mengandungi bakteria dan virus patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A.

Tangki septik perlu dikosongkan setiap dua tahun sekali.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan IWK

 

Peraduan: Jom Sedut & Menang 2019


 

LATEST HEADLINES