Do You Know

Ammonia

 
Ammoniacal Nitrogen (NH3)

Ia adalah komponen nitrogen dan dirujuk sebagai ammoniacal nitrogen yang digunakan sebagai penunjuk untuk menentukan pencemaran oleh kumbahan. Komponen-komponen lain nitrogen adalah termasuk nitrogen organik, Kjeldahl Nitrogen, nitrat & nitrit. Ia merupakan bahan semulajadi daripada pereputan sebatian-sebatian nitrogen dan juga merupakan salah satu daripada bahan cemar di dalam bekalan air.

Ammoniacal nitrogen adalah amat terlarut di dalam air dan ia bertindak balas dengan air untuk menghasilkan ammonium hydroxide. Ia juga merupakan salah satu daripada bahan sementara di dalam air kerana ia adalah sebahagian daripada kitaran nitrogen, yang dipengaruhi oleh aktiviti biologi. Jumlah kandungan nitrogen (TKN) adalah lebih kurang 15%-20% daripada kandungan BOD5 di dalam efluen domestik. Jadual di bawah menunjukkan komposisi anggaran air kumbahan bertahap sederhana dari segi kandungan nitrogen dan bahan-bahannya.

Parameter mg/L
Jumlah Nitrogen 35
Kjeldhal Nitrogen 35
Ammonia Nitrogen 25
Nitrogen organik 10
Nitrat 0
Nitrit 0

Sumber-sumber ammonia di dalam sungai adalah:

  • baja untuk pembangunan-pembangunan tanah dan pertanian.
  • tapak pelupusan sampah leachate dan pembangunan tanah yang tidak terkawal.
  • kumbahan yang tidak dirawat daripada penternakan ayam itik, rumah-rumah setinggan di tepi sumber air, tangki-tangki septik, kilang-kilang, tandas-tandas sementara di tapak-tapak pembinaan.
  • air kumbahan yang dilepaskan daripada kawasan-kawasan perumahan, komersil, institusi dan kemudahan-kemudahan berkaitan.
  • pelepasan air kumbahan dan bahan-bahan kimia bertoksik daripada pelbagai industri.
  • aliran air di permukaan disebabkan oleh hujan lebat
  • minyak dan air kumbahan daripada bilik-bilik air dan dapur
  • efluen loji olahan kumbahan perbandaran

Dalam keadaan anaerobik, ammonia dioksidakan kepada nitrit dan seterusnya kepada nitrat melalui proses penitritan. Jika dalam keadaan anoxic (tanpa oksigen), nitrat yang terbentuk akan bertukar ke gas nitrogen tanpa kehadiran oksigen melalui proses pendenitritan.

Ammoniacal nitrogen berlebihan di perairan boleh menyebabkan masalah bau dan rasa. Ia juga akan mengakibatkan masalah psikologi kepada pengguna, yang akan beranggapan bahawa sumber air adalah tercemar dengan kumbahan, walaupun ia bukan merupakan penyebabnya.

Kebolehan "penulenan-sendiri" sumber air adalah merupakan suatu konsep yang penting. Dengan memahami konsep ini, adalah jelas mengapa bahan cemar (dengan had yang dibenarkan) dilepaskan ke laluan air. Jika tidak, bahan cemar yang berlebihan akan `membunuh` laluan air semula jadi.

Antara kaedah-kaedah yang digunakan untuk penyingkiran ammoniacal nitrogen adalah nyah-udara(pemeruapan gas ammonia), titik putus pengklorinan (tambahkan klorin untuk mengoksidakan ammonia) atau pertukaran ion(sejenis tanah liat - clinoptilolite untuk mengoksidakan ammonia). Ia juga boleh disingkirkan daripada sumber-sumber air di tempat pengambilan air mentah atau di loji olahan kumbahan. Kadar penyingkiran ammoniacal nitrogen adalah bergantung kepada penulenan-sendiri perairan/sungai, keperluan-keperluan pelepasan efluen atau teknologi terkini yang digunakan oleh loji-loji olahan air minum.

Setakat ini, masih tiada piawaian untuk pelepasan ammoniacal nitrogen dan semua loji olahan kumbahan yang terdapat di Malaysia tidak direkabentuk untuk menyingkirkan ammoniacal nitrogen. Walau bagaimanapun, secara purata, loji-loji olahan kumbahan awam adalah mematuhi keperluan-keperluan Piawaian "A" dan "B" seperti berikut:

Parameter Standard A (mg/L) Standard B (mg/L)
Suhu (Celcius) 40 40
Nilai pH 6.0 - 9.0 5.5 - 9.0
Permintaan Oksigen Biologi 20 50
Permintaan Oksigen Kimia 50 100
Pepejal Terampai 50 100
Ammoniacal Nitrogen 15 25

Ammoniacal nitrogen di dalam efluen yang dilepaskan daripada loji-loji olahan kumbahan akan cair secara perlahan-lahan di dalam perairan dan seterusnya menjadi sebatian yang kurang toksik.

Salah satu daripada sumber kritikal pencemaran adalah daripada tangki-tangki septik dan tandas curah. Di Malaysia, terdapat lebih daripada 1.2 juta tangki septik tetapi hanya 30% daripadanya diselenggarakan dengan baik, iaitu enap cemar dikeluarkan daripada tangki secara berjadual. Kebanyakan pengguna tangki septik mengabaikan tanggungjawab mereka untuk memastikan enap cemar dikeluarkan secara berjadual. Oleh sebab itu, enap cemar terkumpul akan mencemarkan perairan.

LATEST HEADLINES